Archive for May, 2010

Dalam artikel “Rahsia Pelabur Bijak: Kenali Pelaburan Anda Melalui Prospektus (Bahagian 1)” yang lalu, kita telah berbincang tentang prospektus, kepentingan membacanya, cara mendapatkannya serta panduan membacanya. Kali ini, kita akan memberi perhatian terhadap faktor risiko, profil pelabur, prestasi kewangan serta yuran dan caj yang bakal dikenakan.

  • Faktor risiko

Ambil perhatian terhadap risiko yang mungkin ditanggung dan bandingkannya dengan kadar toleransi risiko anda sendiri. Antara faktor yang mungkin mempengaruhi kadar toleransi risiko anda termasuklah:

  • Berapa lama tempoh yang boleh diperuntukkan sebelum anda ingin menggunakan wang daripada pelaburan tersebut;
  • Sama ada anda sanggup dan mampu menghadapi turun naik pelaburan dalam jangka masa panjang;
  • Pengalaman pelaburan anda pada masa lalu (jika ada); dan
  • Jangkaan anda terhadap unit amanah tersebut.

Risiko yang biasanya dihadapi oleh pelabur unit amanah ialah risiko pasaran, risiko kadar faedah, risiko kecairan dan risiko kredit. Sebagai contoh, prestasi dana yang mempunyai pelaburan dalam pasaran baru muncul (emerging markets) boleh dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dan politik pasaran tersebut. Di samping itu, perubahan dalam kadar tukaran wang asing akan turut memberi kesan kepada pulangan dana itu.

  • Profil pelabur

Kebanyakan prospektus akan menerangkan mengenai profil pelabur iaitu jenis pelabur bagaimanakah yang sesuai melabur dalam dana tersebut. Ia hanya berfungsi sebagai suatu panduan dan anda perlu memadankannya dengan keadaan diri sendiri.

  • Prestasi kewangan

Prestasi kewangan sesuatu dana boleh dijadikan sebagai petunjuk berguna tentang cara dana itu diuruskan, terutamanya jika ianya sudah lama berada di pasaran. Jika dana itu pernah berjaya mengharungi keadaan ekonomi atau pasaran yang sukar, anda tentunya akan berasa lebih yakin dengan prestasinya di masa depan. Anda juga boleh membandingkan prestasi dana tertentu dengan dana yang lain serta penanda aras prestasinya.

Ingat! Prestasi lalu tidak menjamin kejayaan dana pada masa hadapan!

  • Yuran dan caj yang bakal dikenakan

Memandangkan semua unit amanah diuruskan secara profesional oleh pengurus dana, anda perlu membayar pelbagai yuran dan caj. Sebagai seorang pelabur, antara yuran dan caj yang mungkin dikenakan termasuklah:

Yuran

Ambil perhatian terhadap caj jualan atau caj-caj lain yang perlu dibayar kepada pengurus dana. Caj ini dikenali sebagai caj muka (front end) atau caj belakang (back end). Dana yang berbeza mempunyai caj yang berlainan. Caj bagi dana unit amanah boleh dibayar sebagai:

  • Caj muka iaitu komisen atau caj jualan yang dikenakan semasa pembelian unit dalam dana unit amanah; atau
  • Caj belakang, iaitu caj jualan yang harus dibayar semasa menjual kembali unit dalam dana unit amanah.

Yuran pembelian/penebusan semula

Seorang pelabur mungkin dikenakan yuran keluar semasa membeli/menebus semula pelaburannya. Sebagai contoh, yuran keluar akan dikenakan jika pelabur menebus semula pelaburan dalam dana bon sebelum tarikh matang.

Yuran pertukaran

Jika anda mahu menukar pelaburan (contohnya bertukar daripada dana ekuiti ke dana amanah pasaran wang), anda mungkin dikenakan yuran pertukaran. Kebanyakan dana unit amanah membenarkan anda membuat tukaran dana (sama ada sebahagian atau penuh), asalkan and amembayar yuran pertukaran yang ditetapkan. Biasanya, dana itu akan menetapkan baki minimum pelaburan sebelum membenarkan anda membuat pertukaran. Ini untuk mengelakkan pemegang dana unit amanah daripada menukar pelaburan mereka dengan sewenang-wenangnya.

Yuran pengurusan

Ini merupakan bayaran kepada syarikat pengurusan bagi mentadbir dan menguruskan dana dan dicajkan secara langsung kepada dana. Jumlah ini berbeza-beza dan bergantung kepada stail pengurusan dana, misalannya aktif atau pasif.

Yuran lain yang berkaitan

Antara yuran lain yang mempunyai kaitan langsung dengan dana unit amanah termasuk yuran penjaga/pemegang amanah sebagai kustodian kepada aset dana, yuran guaman, yuran perakaunan, yuran audit dan cukai.

Prospektus dana unit amanah akan menunjukkan segala yuran yang perlu dibayar, jadi pastikan anda membacanya secara mendalam. Sentiasa peka terhadap yuran yang dikenakan kepada pelabur dan apa pula yuran yang dicajkan kepada dana. Anda kemudiannya bolehlah membuat perbandingan menyeluruh antara struktur kos dana unit amanah yang berlainan sebelum membuat keputusan pelaburan.

Kesimpulan

Pelabur yang sudah arif dengan dunia pelaburan juga kadang-kadang menganggap pembacaan prospektus sebagai suatu yang tidak penting dan hanya membacanya sambil lewa. Pembacaan teliti sebuah prospektus akan mendedahkan maklumat penting yang amat perlu diketahui seperti objektif pelaburan, profil risiko, halangan, strategi pelaburan dan banyak lagi. Meluangkan sedikit masa anda untuk mengamati maklumat tersebut pastinya berbaloi. Ia akan mencegah anda daripada membuat keputusan pelaburan yang mungkin dikesali di kemudian hari. Confucius pernah berkata, “Orang yang baik sentiasa meningkatkan keupayaannya” (“Good people strengthen themselves ceaselessly”) dan kami percaya bahawa pelabur yang baik akan turut sentiasa meningkatkan keupayaan mereka dengan sentiasa mencari ilmu pengetahuan berkaitan pelaburan, dan ianya bermula dengan membaca prospektus.

sumber: www.min.com.my

Mangsa pinjam labur skim cepat kaya: Cuepacs

Oleh Kamarulzaidi Kamis dan S Anand Kumar

2010/05/26

KUALA LUMPUR: Cuepacs mendakwa lebih 50,000 kakitangan awam yang melabur dalam skim cepat kaya sejak beberapa tahun lalu kini bukan saja terpaksa menanggung kerugian besar, malah ada yang mengalami tekanan hidup akibat berhutang.

Ada segelintir kakitangan awam yang membuat pinjaman peribadi untuk tujuan pelaburan tetapi sukar membayar balik ansuran pinjaman. Lebih membimbangkan Cuepacs mendapat aduan ketua jabatan ada kakitangan awam kerap tidak hadir tugas kerana terpaksa membuat kerja sampingan sehingga lewat malam.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya mendapat maklumat, ramai anggota sektor awam yang membuat pinjaman peribadi RM10,000 hingga RM30,000 dengan membuat pembayaran melalui potongan gaji.

“Sebilangan besar mereka memilih potongan gaji sehingga RM600 kononnya boleh menghabiskan tempoh pinjaman dalam tempoh singkat kerana mendapat keuntungan lumayan hasil pelaburan mereka dalam skim berkenaan.

“Mereka merasai keuntungan untuk tempoh setahun. Selepas itu, banyak menghadapi masalah apabila syarikat yang mereka labur mula lenyap atau memberhentikan operasi selepas diserbu pihak berkuasa. Ada antara kakitangan awam yang membuat pinjaman peribadi itu mempunyai tanggungan keluarga besar. Apabila pelaburan rugi besar, mereka hilang pendapatan tambahan,” katanya kepada Berita Harian.

Berita Harian difahamkan kerajaan juga sudah mengeluarkan pekeliling kepada semua kakitangan awam supaya berhati-hati dan tidak menyertai skim cepat kaya atau pelaburan tidak sah dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata bank pusat itu memandang serius mengenai perkara itu kerana sejak Januari tahun lalu, lapan kertas siasatan terhadap syarikat yang disyaki dibuka, membabitkan 150,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM300 juta.
Berdasarkan statistik dari 2003 hingga 2008, Bank Negara sudah menyiasat 23 buah syarikat skim cepat kaya membabitkan jumlah pelabur melebihi 400,000, membabitkan kutipan melebihi RM1.5 bilion.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/50_000penjawatawamkenatipu/Article

Pelaburan dalam unit trust sesuai untuk pelabur yang menetapkan sasaran
pulangan jangka sederhana dan panjang, lima tahun ke atas. Sebagai contoh,
ia juga sesuai untuk mereka yang melabur dengan objektif sebagai simpanan
untuk pendidikan anak-anak, membeli rumah, simpanan untuk persaraan serta
sebagai modal untuk memulakan perniagaan pada kemudian hari.

Unit Trust tidak membezakan kelas pendapatan seseorang, sama ada dalam
kumpulan pendapatan rendah atau kaya. Sebaik dilaburkan, sama ada ia
RM1,000 atau RM1 juta, ia merealisasikan objektif yang sama iaitu
pengumpulan kekayaan.

Melabur dalam unit trust memerlukan perhatian berterusan bagi
membolehkan pelabur mendapat pulangan yang baik. Pelabur boleh
memaksimumkan potensi pulangan dengan sentiasa memantau pelaburan dengan kerjasama perunding unit trust sama ada dengan menukar daripada dana ekuiti kepada pendapatan tetap atau sebaliknya, bergantung kepada keadaan pasaran. Pelabur juga boleh membuat pengagihan aset seiring dengan perubahan terhadap penerimaan risiko dan strategi pelaburan.

“Pelabur yang bijak ialah pelabur yang melabur dengan
modal yang sedikit, tetapi mendapat pulangan yang
berlipatkaliganda serta dapat memenuhi kehendak
pelaburan mereka”

Salam sejahtera. Awang Selamat dalam ruangan bisik-bisik (Utusan Malaysia-2006) mendakwa menerima 100 bukti dari para pelabur yang rugi dalam pelaburan unit trust.

Awang Selamat bagaimana pun tidak menyatakan tempoh pegangan unit tust oleh pelabur tersebut. Tempoh pelaburan dalam unit trust sangat penting bagi menilai prestasi sesuatu dana unit trust. Menilai prestasi dana unit trust berdasarkan tempoh pegangan yang singkat tidak akan membantu pelabur membuat keputusan yang betul. Malah akan menimbulkan banyak impak yang negatif.

Saya tidak perlukan bukti untuk menyatakan seorang pelabur akan rugi sebaik sahaja melaburkan wang mereka dalam unit trust. Kenapa? Sebab skim pelaburan unit trust dirangka untuk manfaat kewangan jangka panjang. Jangan impikan jika anda melabur hari ini – esok, lusa, mingu depan, bulan depan, tahun depan 2 tahun lagi atau 3 tahun lagi anda akan boleh untung!!Lupakan saja!! Tetapi bukanlah mustahil!!!

Tidak juga bermakna, walau pun sudah lama melabur anda akan untung! tidak juga!! Meneliti semula prestasi beberapa unit trust dalam tempoh 10 atau 20 tahun lepas didapati unit trust sangat berpotensi untuk dikembangkan sebagai suatu pilihan kepada rakyat untuk menyimpan wang. Sebagai contoh, satu unit trust yang dilancarkan pada tahun 1992 sehingga kini telah memberikan pulangan sehingga 454.77% manakala satu lagi dana yang dilancarkan pada tahun 1997 telah memberikan pulangan 207.13% sehingga 29 Januari 2010.

Jadi di mana silapnya? Perlu diakui, bukan semua pelaburan dalam unit trust membuahkan untung. Ada yang rugi. Kerugian adalah risiko yang perlu diterima oleh pelabur apabila melabur. Bukan dalam unit trust sahaja. Dalam perniagaan pun begitu. Tetapi apa yang penting, apakah kita telah mengambil langkah-langkah yang perlu dengan menilai semula strategi pelaburan kita? Supaya pelaburan kita menepati objektifnya.

Melabur dalam unit trust memerlukan kesabaran, disiplin dan strategi yang betul. Pelaburan dalam unit trust memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun atau lebih bagi menyerap pergerakan harga pasaran sebelum mula menampakkan pertumbuhan modal. Tiada kompromi. Bagaimana pun terdapat pelabur-pelabur yang telah mula mendapat untung pada bulan ke 14. Apakah strateginya? Melabur secara tetap setiap bulan – sebagai satu cara meminimakan risiko.

Amat malang. Sementara kerajaan saban tahun melalui PNB, menganjurkan minggu amanah saham dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat betapa pentingnya menabung, kita dikejutkan oleh laporan yang tidak disertakan fakta-fakta. Laporan sebegini tidak banyak membantu mempromosi indusrti saham amanah di kalangan rakyat.

Pelaburan dalam unit trust ada peraturannya. Ada Suruhanjaya Sekuriti,Ada Pemegang Amanah yang menjaga kepentingan pelabur. Ada Penasihat Syariah, ada UMTC, ada FMUTM. Siapa yang ambil tahu?? Prospektus unit trust sudahkah habis dibaca, difahami sebelum melabur?? Tak perlu baca!! Biar perunding amanah terangkan?? Prestasi dana dalam tempoh 5 tahun lepas sudahkah diselidik?

Kita hidup di dunia ini, tiada yang percuma. Risiko ada di mana-mana. Memandu, risikonya kemalangan, kecederaan, kematian!! kenapa kita masih memandu? Merokok, risikonya membahayakan kesihatan!! kenapa masih merokok? kenapa kita masih melakukannya tetapi begitu takutkan risiko pelaburan? Ingin berniaga, ingin untung besar tetapi tidak mahu keluarkan modal!!

Seharusnya, kita bersama-sama kerajaan mendidik masyarakat dalam membudayakan amalan menabung, merancang keperluan kewangan pada masa hadapan.

Sekurang-kurangnya, dengan usaha-usaha yang berterusan akan mencetuskan kesedaran: untuk menabung bagi tujuan bayaran yuran sekolah anak-anak tahun hadapan.

Supaya tiada lagi yang mempertikaikan kenaikan yuran sekolah sebanyak RM100 setahun tetapi dengan senyum simpul membayar bil Astro RM 105.95 sebulan.

Mengikut kaji selidik dari Citibank Bhd:

  • Hanya 39% rakyat Malaysia menabung.
  • 28% sahaja merangka bajet bulanan dan mematuhinya.
  • 21% membayangkan tabungan mereka hanya mampu bertahan untuk empat minggu saja.
  • 37% bimbang mengenai kedudukan kewangan mereka.

RAKYAT MALAYSIA didapati belum bersedia dari segi kewangan apabila berlaku kehilangan punca pendapatan atau diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi kerana kurang menabung. Hasil kaji selidik Citibank mengenai  kesedaran perancangan kewangan rakyat Malaysia sangat membimbangkan.

Kaji selidik terbaru Citibank Bhd berhubung kesedaran perancangan kewangan bagi suku terakhir 2008 itu, menunjukkan hanya dua daripada lima individu atau 39 peratus rakyat negara ini yang menabung. Sementara itu, kurang satu daripada tiga individu atau 28 peratus merangka bajet bulanan dan mematuhinya. Ketua Segmen Pemasaran Perbankan Runcit Citibank, Timothy Johnson, berkata penemuan kajian itu juga mendapati 21 peratus daripada responden membayangkan tabungan mereka hanya mampu bertahan untuk empat minggu saja.

Berdasarkan persekitaran ekonomi global semasa yang amat mencabar, hasil kaji selidik ini agak membimbangkan. Meskipun penanda aras kesedaran rakyat negara ini mengenai perancangan kewangan dan persaraan bagi suku akhir 2008, meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu, ia masih belum mantap, katanya pada sidang media selepas membentangkan keputusan kajian itu di Kuala Lumpur, semalam.

Kaji selidik Suku Tahun Akhir Citibank, merangkumi 500 temu bual dalam talian, yang setiap responden diajukan 40 soalan, bertujuan mengetahui tahap pemahaman rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan masing-masing. Berdasarkan keputusan keseluruhan kajian, secara umumnya, kesedaran merancang kewangan di kalangan rakyat meningkat kepada 51 mata daripada 49 mata pada suku terakhir tahun lalu.

Sehubungan itu, Johnson berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat negara ini menyedari kepentingan kewangan. Pengurusan kewangan yang baik bukan bermakna membina kekayaan, tetapi penghidupan selesa dengan jaminan kewangan, kualiti hidup yang lebih baik, rasa optimis terhadap masa depan serta bersedia untuk menghadapi cabaran hidup.

Kajian itu menjadi ukuran bagi mengawal kedudukan kewangan, terutama ketika persekitaran mencabar dengan isu pemberhentian kerja dan pemotongan gaji, katanya. Beliau menyaran pengguna supaya merangka perancangan kewangan yang tersusun, justeru, membantu mereka mengharungi tempoh kelembapan ekonomi.

Menurut kajian itu, kini lebih ramai rakyat Malaysia khususnya di kalangan golongan muda berumur 18 hingga 29 tahun, mula memberi perhatian kepada urusan kewangan mereka. Sejumlah 56 peratus daripada responden, beranggapan kedudukan kewangan mereka kini adalah lebih baik berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, sejumlah 37 peratus daripada responden, naik empat peratus berbanding tempoh sama 2007, berasa bimbang mengenai kedudukan kewangan mereka. Dari segi pematuhan bajet bulanan, kajian itu mendapati, walaupun 86 peratus responden berhasrat mematuhinya, kurang 28 peratus yang benar-benar mematuhinya.


Strategi dan Konsep Melabur

Pemurataan Kos Ringgit /Ringgit Cost Averaging(RCA)

Apa itu RCA?

“Pemurataan kos ringgit” merupakan satu teknik yang diamalkan dengan meluas dalam industri amanah saham. Ia melibatkan pelaburan amaun yang tetap untuk tempoh yang khusus seperti bulanan, suku tahunan, atau tahunan tanpa mengambil kira bagaimana pasaran saham bergerak.

Bagaimana melaksanakan RCA?

Melalui pelaburan satu jumlah tetap pada waktu tempoh yang tetap tanpa menghiraukan harga unit ketika itu. Ia boleh dilakukakn samada secara bulanan (Direct Debit Instruction) atau suku tahunan (pengeluaran KWSP). Sebagai contoh, pelabur memilih untuk membuat pemotongan gaji terus melaui Direct Debit Instruction sebanyak RM200 ke dalam akaun dana unit amanah. Bagi pelabur wang simpanan KWSP pula, pelabur memilih untuk membuat pelaburan setiap suku tahunan (3 bulan) mengikut jumlah yang layak seperti RM1,000 atau RM5,000.

Jumlah dan kekerapan pelaburan bergantung kepada kemampuan kewangan dan matlamat kewangan masa depan anda.

Bagaimana RCA berfungsi?

Apabila harga dana lebih tinggi, pelaburan tambahan akan membeli bilangan unit yang lebih kecil tetapi apabila harga lebih rendah, jumlah wang yang sama membolehkan anda membeli lebih banyak unit. Apa yang tersirat daripada pendekatan ini adalah, pada sesuatu masa, pasaran akan pulih kerana ia bergerak mengikut kitaran dan pada ketika inilah keuntungan boleh diambil.

Andaikan anda ingim menyimpan RM12,000 setiap tahun untuk tabung pendidikan anak anda. Selain melaburkannya sekaligus dan menanggung risiko memasuki pasaran tinggi, anda memilih untuk melabur RM1,000 setiap bulan dalam unit amanah seperti dalam jadual di bawah:

Bulan Jumlah Pelaburan (RM) Harga seunit (RM) Jumlah unit-unit dibeli
Jan 1,000 0.2256 4432.624113
Feb 1,000 0.2156 4638.218924
Mac 1,000 0.2226 4492.362983
Apr 1,000 0.2011 4972.650423
Mei 1,000 0.1981 5047.955578
Jun 1,000 0.1899 5265.929437
Julai 1,000 0.1755 5698.005698
Aug 1,000 0.1656 6038.647343
Sept 1,000 0.1587 6301.197227
Oct 1,000 0.1666 6002.40096
Nov 1,000 0.1769 5652.911249
Dec 1,000 0.2168 4612.546125
Jumlah 12,000 63,155.45
Keputusan RM
Purata harga seunit 0.1928
Purata Kos seunit 0.1900
Nilai harga terkini 0.2168
Nilai pelaburan terkini 13,692.10

Dalam contoh di atas, purata harga seunit sepanjang tempoh adalah RM0.1928 tetapi purata kos seunit anda adalah RM0.1900, iaitu 1% kurang dari harga seunit di sepanjang tempoh.

Jumlah unit yang diperolehi dengan jumlah pelaburan RM 12,000 secara RCA adalah sebanyak 63115.45 berbanding dengan jumlah pelaburan secara ‘lump sum’ sebanyak RM 12,000 adalah sebanyak 53191.49 unit yang dibeli dengan harga RM 0.2256/unit pada bulan Januari.

Sudahkah anda melaksanakan RCA? Hubungi saya sekarang untuk membuat pelaburan Unit Trust anda! Ini adalah masa yang terbaik untuk memulakan langkah mengubah masa depan kewangan anda.